08 August 2014

PULAU LANGKAWI

LANGKAWI





Pulau Langkawi juga disebut sebagai Pulau Lagenda  kerana pulau ini adalah unik dalam erti kata yang lain pulau ini memiliki begitu banyak mitos dan  legenda yang berkaitan dengannya.Pulau ini adalah sebuah kepulauan dari 99 pulau yang terdapat  di pantai utara barat Semenanjung Malaysia. Langkawi juga dikenali sebagai sebuah pulau yang bebas cukai. Ini bermakna  jika anda tinggal di sini, anda akan dapat menikmati pembelian yang murah berbanding dengan membeli barangan di Kuala Lumpur. Sebahagian besar daripada perbelanjaan pelancong ke Langkawi adalah merupakan cenderamata, gamat, coklat, pinggan mangkuk dan hasil kraftangan yang mempunyai diskaun sehingga 50 peratus.



Pulau Langkawi merupakan sebuah Pulau yang mempunyai keluasan yang melebihi Pulau  Pinang. Terdapat juga pulau-pulau kecil di sekitar Pulau Langkawi  seperti Pulau Dayang Bunting, Pulau Singa Besar, dan Pulau Beras Basah . 


Perjalanan ke Langkawi boleh menggunakan feri dari Kuala Kedah (75 minit) atau dari Kuala Perlis (45 minit). Feri biasanya beroperasi pada jam 7:00-19:00.


21 July 2014

LANGKAWI GEOPARK

Geo-Taman pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf oleh UNESCO

Sekelompok gugusan 99 buah kepulauan dengan hutan tropika, gunung, pulau dan pantai menyimpan catatan sejarah bumi setengah billion tahun lamanya. Catatan-catatan ini menceritakan kisah kelahiran bumi yang kini dikenali sebagai Malaysia dan kuasa dan proses besar yang membentuknya ke rupanya sekarang. Sebenarnya, Langkawi merupakan satu-satunya tempat di negara ini yang memiliki catatan-catatan sejarah lengkap tersebut.

Pada tahun 2007, UNESCO telah mengumumkan kepulauan Langkawi sebagai salah sebuah daripada 94 Geo-Taman dari 27 negara di seluruh dunia yang diiktiraf kerana keindahan semulajadi, keharmonian ekologi dan pengaruh arkeologi, geologi dan budaya yang ketara. Sehingga kini, Langkawi masih merupakan satu-satunya Geo-Taman yang diiktiraf UNESCO di Asia Tenggara.

Geo-Taman Langkawi tersohor kerana menampilkan formasi-formasi batuan yang mengagumkan dikelilingi hutan purba, sistem gua stalaktit dan stalagmite, rimba paya, gua dan terowong lautan, hidupan liar dan air terjun. Terdapat lebih daripada 90 tapak-geo yang telah ditemui di rantau ini tetapi terdapat tiga kawasan ketara yang menjadi Geo-Taman Langkawi, setiap satunya dengan cirri geologinya yang tersendiri:
  • Taman Geo-Rimba Kilim Karst
  • Taman Geo-Rimba Matchinchang Cambrian
  • Taman Geo-Rimba Marmar Dayang Bunting


16 February 2014

HELANG & LANGKAWI

Langkawi adalah habitat bagi spesis helang (penduduk tempatan memanggilnya 'lang') yang banyak kelihatan di pulau ini, iaitu 'Brahminy Kite'. Ia dipercayai menjadi punca bagaimana Langkawi mendapat namanya. Langkawi dikatakan suatu gandingan di antara perkataan ' lang' dan 'kawi', di mana 'kawi' bermakna 'coklat kemerah-merahan' yang menjadi warna utama helang berkenaan.
Namun, terdapat penjelasan dalam 'versi' lain yang juga munasabah.Dalam bahasa Sanskrit, 'langka' bermaksud 'kecantikan' manakala 'wi' pula bermaksud 'tidak terkira/ternilai'. Apabila digabungkan 'Langkawi' membawa maksud 'kecantikan yang tidak ternilai'.